Isnin, 14 April 2025

Perkara yang Menghakis Rasa Hormat Staf terhadap Ketua

 Sebagai seseorang yang pernah menjadi kakitangan biasa, dan kemudian diberi amanah sebagai ketua jabatan, saya telah melalui pelbagai pengalaman yang membuka mata tentang dinamika rasa hormat dalam organisasi.

Kata pepatah Inggeris, “Respect is earned, not given.”
Kita tidak boleh memaksa orang lain menghormati kita hanya kerana jawatan atau pangkat. Rasa hormat perlu diusahakan dengan akhlak dan tindakan yang tulus.
Ramai yang bekerja lama akan bersetuju: ada ketua yang sangat dihormati, dan ada yang hanya ditakuti malah dibenci dalam diam.
Berikut antara perkara utama yang menyebabkan staf hilang rasa hormat terhadap ketua mereka:
1. Bergosip atau Mengumpat tentang Staf Lain
Seorang ketua yang bergosip di hadapan staf lain akan dilihat sebagai tidak profesional dan berat sebelah. Ia menimbulkan suasana tidak selamat dan ketegangan dalaman di tempat kerja.
Nasihat: Jika ada aduan tentang seseorang, siasat dengan adil dan jangan terus percaya bulat-bulat. Elakkan jadi “tukang menyemarak api” kepada gosip yang belum tentu benar.
2. Menegur atau Memarahi Staf di Hadapan Orang Ramai
Teguran adalah tanggungjawab pemimpin. Namun, menegur di khalayak ramai menjatuhkan maruah dan keyakinan diri staf tersebut.
Nasihat: Lakukan teguran secara empat mata, dengan penuh hikmah. Anda bukan sahaja menyelamatkan air muka staf, bahkan membina kepercayaan yang lebih kukuh antara anda dan mereka.
3. Membandingkan Staf dengan Staf Lain
Niat untuk ‘memotivasikan’ mungkin ada, tetapi membanding-bandingkan staf hanya akan membunuh semangat dan menimbulkan rasa iri hati serta perpecahan dalaman.
Nasihat: Hargai keunikan dan kekuatan setiap staf. Puji secara terbuka, tegur secara tertutup.
4. Menunjuk Perangai Buruk di Hadapan Staf
Antara perangai yang menjatuhkan maruah kepimpinan ialah suka membebel, merungut, menengking, atau menunjukkan sikap tidak sabar.
Nasihat: Seorang pemimpin yang tenang ketika tekanan datang akan menanam rasa yakin dalam diri staf bahawa semuanya masih terkawal. Ketenangan pemimpin adalah kekuatan organisasi.
5. Berkelakuan Tidak Sopan terhadap Staf Perempuan
Menggoda, membuat kenyataan berunsur seksis, atau memuji fizikal staf wanita adalah tingkah laku sangat tidak profesional dan memalukan.
Nasihat: Hormatilah batas pergaulan. Kata orang tua, “Don't eat and sh*t at the same place.” Noktah.
6. Memanggil Staf dengan Gelaran Tidak Sesuai
Panggilan seperti “Abang”, “Adik”, “Hoi”, “Pakcik”, atau “Nenek” tidak mencerminkan budaya kerja yang profesional.
Nasihat: Gunakan nama sebenar dengan gelaran hormat seperti “Encik”, “Puan”, “Cik”, atau “Tuan Haji”. Ketua yang tahu menghormati staf akan lebih dihormati semula.
Kesimpulan:
Enam perkara ini hanyalah sebahagian daripada banyak sebab yang boleh merosakkan hubungan antara ketua dan staf. Namun, ini adalah asas penting berdasarkan pengalaman saya dalam dunia pekerjaan.
Sebagai pemimpin, anda tidak perlu jadi sempurna tetapi perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri, kerana kepimpinan yang dihormati akan mencipta pasukan yang setia dan cemerlang.
Wallahu a‘lam.
Ir. Hj. Zainuddin bin Hj. Omar
* Di Ollantaytambo, Peru
May be an image of 4 people and train
All reactions:
Ahmad Fahmie, Warisah Zuki and 1.7K others

Tiada ulasan:

Catat Ulasan