Selama ini ramai membayangkan proses persenyawaan sebagai satu perlumbaan besar di mana jutaan sperma berlumba ke arah telur, dan sperma yang paling laju akan menang. Namun kajian reproduksi moden menunjukkan bahawa proses sebenar jauh lebih kompleks dan lebih “bijak” daripada apa yang kita selalu dengar.
Dalam tubuh wanita, telur (oocyte) bukan sekadar menunggu sperma pertama yang sampai. Sebaliknya, telur mempunyai keupayaan biologi untuk memilih sperma mana yang paling layak untuk masuk. Ini bermula dengan cara telur dan sel-sel di sekelilingnya melepaskan bahan kimia tertentu dipanggil chemoattractants. Bahan inilah yang menarik sperma mendekat serta membantu mengarahkan pergerakan sperma ke tempat yang betul. Ia bukan tarikan yang sama kepada semua sperma; ada sperma yang memberi respon kuat dan ada sperma yang langsung tidak memberi tindak balas. Situasi ini berlaku walaupun sperma datang daripada lelaki yang sama.
Dalam masa yang sama, terdapat “komunikasi halus” antara sperma dan telur melalui isyarat molekul. Isyarat ini berlaku pada tahap yang kita tak boleh lihat, melibatkan perubahan kecil pada permukaan sel, pergerakan ion dan maklumat yang dihantar daripada satu sel kepada sel lain. Melalui komunikasi inilah telur dapat mengesan mana satu sperma yang paling sesuai, paling stabil, dan paling berpotensi menghasilkan embrio yang sihat.
Kajian juga menunjukkan bahawa telur mungkin memberi keutamaan kepada sperma yang lebih serasi dari sudut genetik, terutamanya melibatkan sistem keserasian seperti HLA. Keserasian inilah yang boleh meningkatkan peluang persenyawaan berjaya dan perkembangan embrio yang normal. Sebab itu kadang-kadang ada pasangan kelihatan sihat tetapi masih sukar mendapatkan zuriat bukan kerana salah seseorang, tetapi kerana gamet mereka tidak serasi pada tahap biologi yang sangat halus.
Sebenarnya, proses persenyawaan bukan tentang siapa paling cepat, tetapi tentang keserasian biologi yang dipilih oleh tubuh secara semula jadi. Kehidupan bermula dengan proses pemilihan, komunikasi dan keseimbangan yang sangat teliti. Ia mengingatkan kita bahawa kita wujud bukan sekadar kerana satu sperma yang menang perlumbaan, tetapi kerana tubuh memilih yang paling sesuai untuk menghasilkan kehidupan yang terbaik.
Rujukan Kajian:
• eLife — Human eggs use chemoattractants to guide sperm
• Nature Communications — Molecular communication between oocyte and sperm
• Scientific American — Modern insights into fertility and gamete selection
• BBC Science — Evidence that eggs may prefer genetically compatible sperm
#munidaleo
x